salam bismillah,
esok cuti maulidur rasul..... sama-sama kita manfaatkan yer :) perbanyakkan berselawat ke atas Nabi Muhammad S.A.W
Maulidur Rasul yang jatuh pada pada hari Khamis 12 Rabiul Awal Tahun Gajah bersamaan dengan 23 April 571 merupakan hari keputeraan Nabi Muhammad S.A.W. Baginda adalah nabi terakhir yang diutus oleh Allah S.W.T.
Hubungan Antara Hati dan Akhlak
Di manakah pembinaan akhlak bermula? Sebenarnya, pembinaan akhlak bermula dari hati. Dalam surah asy-Syams ayat 9 hingga 10 yang bermaksud, "Sesungguhnya berjayalah mereka yang membersihkan jiwa dan rugilah mereka yang mengotorkannya."
Berhubung dengan ayat ini, Imam Ibn Kathir di dalam Tafsir al-Quran al-Azim berkata, "Ia boleh diertikan sebagai beruntunglah mereka yang membersihkan jiwa dengan mentaati Tuhan seperti yang disebutkan oleh Iman Qatadah, serta membersihkan daripada akhlak yang keji lagi hina."
Justeru, salah satu agenda kerasulan yang dilaksanakan nabi adalah tazkiyah an-nafs. Ia bermaksud pembersihan jiwa. Tuhan menyatakan dalam surah al-Baqarah ayat 151 yang bermaksud, "Sebagaimana Kami (menyempurnakan nikmat Kami) dengan mengutus kepadamu rasul antara kamu yang membacakan ayat-ayat Kami kepadamu dan membersihkan (jiwamu) dan mengajar kepadamu Kitab dan hikmah serta mengajar kepada kamu apa yang belum kamu ketahui."
Di dalam al-Asas fit Tafsir oleh Said Hawa, kalimat yuzakkiikum yang diterjemahkan sebagai 'membersihkan jiwamu' ditafsirkan sebagai, "Membersihkan kamu daripada kekejian akhlak, kerendahan jiwa serta perbuatan-perbuatan jahiliah." Semua tafsiran ini menunjukkan, kebersihan hati atau jiwa tidak dapat dipisahkan daripada akhlak.
Berdasarkan dalil-dalil ini, Imam Ghazali di dalam Ihya Ulumuddin dalam kitab bab Latihan Jiwa, Pemurnian Akhlak dan Pengubatan Penyakit Hati berkata, "Budi pekerti yang baik adalah setengah daripada agama. Ia terhasil melalui mujahadah oleh orang-orang bertakwa dan latihan oleh orang-orang yang kuat beribadah. Akhlak yang elok adalah pintu yang terbuka daripada hati yang menghasilkan nikmat di sisi Tuhan. Budi pekerti yang keji adalah hasil daripada penyakit hati dan jiwa dan ia adalah penyakit yang menghilangkan kebahagiaan hidup yang abadi. Akhlak adalah keadaan yang menetap dan bermula dalam jiwa individu. Daripada lahirnya perbuatan-perbuatan dengan mudah dan senang. Apabila keadaan itu melahirkan perbuatan-perbuatan yang terpuji menurut akal dan agama maka ia dinamakan sebagai akhlak yang mulia. Sebaliknya jika keadaan itu melahirkan perbuatan jelik ia dinamakan akhlak yang keji."
sumber : http://pts.com.my/index.php/artikel/hubungan-antara-hati-dan-akhlak/